![]() |
foto: ridduan ismail (ig:TTFGA) |
paras buku lali
jangan pergi jauh, sayang
sorok resahmu di balik pintu harapan
sidai baju gusarmu di ampaian kasih
ke sini aku lipatkan kaki seluarmu
pada paras lutut ini
tutuplah diri dengan gebar nyali besar
lenalah dulu, bermimpilah jika mahu
nanti aku kejutkan - aku kejutkan
andai air tak surut-surut
masih mahu meladeni desa sendu ini
paras pinggang sekarang
bersedialah
sudahkah kausimpan dokumen ke syurga?
simpanlah baik-baik dalam beg iman
pabila air tak mahu memaafkan lagi
usah lupa - bawalah bersama-sama
telah hampir ke dada
amaran untuk pindah
tidak dapat kita tunggu lagi rumah amal ini
air telah menyapa tangga
bagai ingin membasuh noda
yang dipalitkan
di dalam sedar
di luar sedar
berpindahlah
dari leher - kini hampir hapuskan hidung
tak mungkin dapat bernafas lagi
carilah ruang yang lain - sementara
pabila nanti telah reda - kembalilah
namun jangan kauulangi
jangan kauulangi bejat yang lalu
banjir datang mengingatkan
insaflah
RN
30-12-2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan