Selasa, 5 Mac 2013

sajak malam tahnik


“wahai sultan murad, bukan tuanku yang
membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak
di dalam buaian itu.” – syeikh syamsuddin al wali

sewaktu rekah mulutmu dengan tamar
alunan selawat malam tahnik itu
sepotong doa dikirim – dan moga sampai ke sorga
anakanda menjadi permata abi dan umi
penerang hati – pengubat jiwa

ranum nanti, harap anakanda bagaikan payung
menyejukkan, meneduhkan dan mendamaikan
jangan ditambah bimbang di hati abi dan umi
cukuplah dunia ini makin macet dan ruwet

anakanda,
ilmu ialah penyuluh
iman ialah peta
amal ialah kenaikan
pegang sekejap-kejapnya
moga tidak tersalah arah

selamat datang ke dunia, fateh


rimanilzah
04-03-2013
kampung tersusun jalan gula

Isnin, 4 Mac 2013

sajak buntu kala mata tak mampu lelap



ini malam memanjang
mengenang - kala kandil patah sumbu
kila, jangan diusung jawapan semalam
simpan dalam saku kalbumu

barang kali, ada kota di depan
kembaramu baru bermula
jangan gocoh menafsir peta
meredah mimpi penuh duri

3.18 pagi, 05-03-2013
bukit jana