Rabu, 18 November 2009

penggemar antik

:buat peminat sekolah lama di pasar karat

dia penggemar barangan antik

dia gemar jam antik
dia gemar radio antik
dia gemar kereta antik
dia gemar basikal antik
dia gemar kamera antik
dia gemar perabot antik

dia gemar semua yang antik

cuma satu yang antik
dia tak gemar
dia tak gemar isteri antik


18 nov '09

Selasa, 10 November 2009

sang pengembara, pencari kijang kencana yang lelah di mulut gua

:dongeng selepas hujan sore-sore

pernah suatu masa seorang lelaki menunggu di mulut gua menanti kijang kencana keluar. dia sepatutnya masuk saja ke dalam gua dan mencarinya tetapi dia memilih untuk menjadi seorang penanti. bukan kerana hilang jantannya tetapi dia tahu, masuk ke gua yang gelap tanpa panduan cahaya tiada gunanya (meladeni gelap seolah-olah menyerahkan diri kepada kala, lipan, dan ular). bukan kerana dia tiada lampu suluh tetapi baterinya sudah tidak bersakti lagi (apalah guna lampu suluh tanpa bateri. dan, apalah guna bateri tanpa sakti). dia. dia terus menanti di mulut gua. hinggalah beberapa waktu selepas itu (setelah sekian lama bersabar, berharap, dan berdoa). lampu suluhnya tiba-tiba menyala dan kijang kencana muncul di mulut gua. dia terkesima.

(lama sebelum menanti di mulut gua, lelaki itu telah lelah berkelana dari hutan ke gunung, dari gunung ke hutan.) –

3 nov ‘09

katakakikirikekakikanan

kata kaki kanan:
langkah tidak lagi
bermula kanan

ketika sakit - sembuh
ialah sekeping harap

sekilas datang
pergi berzaman.

kata kaki kiri:
sabar, kamu sedang diuji.

8 nov '09

Jumaat, 6 November 2009

sajak yang tak dapat aku letak di tempat biasa

lelaki itu
memberikan jiwa
untuk mendapatkan
raga.

perempuan itu
memberikan raga
untuk mendapatkan
jiwa.

dia - mendapat
jiwa dan raga
tanpa memberikan apa-apa.

7 nov '09

ada

ada-ada saja

ketika ada
ingin yang tiada

ketika tiada
harap-harap ada

memang mengada-ngada


3 nov '09

Isnin, 2 November 2009

ceritera malam tanpa pelita

(i)
dia tak kunjung tiba malam itu
dan, aku menunggu tanpa pelita
di situ - hanya ada nur
bening dalam atma

(ii)
aku masih menunggu di situ
dia tak kunjung tiba - mungkin
disesah petualang
kandas dalam perjalanan
atau, terperangkap dalam jaring
yang dibinanya sendiri

(buka hatimu, kawan
buka kotak fikirmu)

(iii)
lama kemudian, baru dia tahu
tempat dia berdiri itu
dibina kelancungan
kelancungan dibina
agar dia terus berdiri di situ

berdiri di situ, lalu
terus berharap ada pelita
- ada yang mengisikan minyak
- ada yang memasangkan sumbu
terus terang dia dalam kelancungan

(iv)
suatu malam dia tiba juga
dan, aku masih menunggu tanpa pelita
berdua-dua kami bergelap

(buka matamu, kawan
buka topeng sangsimu)

(v)
nur kebenaran
selalu ada sebenarnya
cuma kamu buram hati
dek nama parokial bangsa

3 nov '09