Jumaat, 23 Oktober 2015

#oktoberindu


kesepian menjadi dendam
tak padam. gundah terbunuh
di rumah sunyi.

engkaukah yang berdiri di
kaki pelangi. selepas hujan
turun rintik-rintik membasah
resah semalam.

aku terdengar lagu “hanya aku”
di telefon genggam. hagen dass
di mangkuk cair tidak dijamah.
buku catatan kosong tanpa
sajak terkarang.

kembali ke rumah sunyi – aku
mencari diari yang hilang. pernah
aku catatkan di situ, “mengapa kau
tinggalkan aku dengan tanda tanya
di restoran d. nescafe o mendingin
di meja. di mana engkau?”

kau pernah datang meletakkan
sekeping kartu soalan di meja. aku
biarkan tidak berjawab. angin datang
kartu pun terbang. engkau renung
mataku. aku renung matamu dengan
hati berdetik, “kita tak seharusnya
hadir di sini. bukankah
kita hanya punya mimpi?”

matamu seperti menjawab, “kirimkan
kepadaku pesanmu seperti selalu.
kata-katamu pedang ingatan. aku rela
terpancung – terpenggal imarah
daripada perasaan.”

sendiri  di rumah sunyi, aku sedar –
aku hanya sejuzuk kisah dalam sirah
hidupmu. setelah sirna momen-momen
dalam peta fikirmu.  aku bukanlah sesiapa.

begitupun kenangan bagai serigala
memburuku. sepantas manapun kubawa
berlari. tetap datang menghampiri.

celakanya aku dikejar kenangan itu. 


rimanilzah
18 - 28 oktober 2015

Jumaat, 16 Oktober 2015

alangkah lucunya negara ini

negara ini sudah 
cukup kelakar, kawan
jadi, jenakamu 
tentang negara ini
tidak lagi lucu.
kawan,
harapanku
kau benar-benar ada
jenaka paling lucu
andai negara ini
telah tidak lucu lagi.
jenaka itu
sangat perlu
tika itu untukku.


ig: robinhead
RN
kota romantis

Rabu, 22 Julai 2015

tentang rindu


bukan semua rindu
ada jawapan
ada yang kekal
tinggal sebagai
p e r t a n y a a n

RN
kota romantis

Jumaat, 20 Mac 2015

catatan kepada kawan


kawan,
kapal mana pun yang kaupilih
moga kau berbahagia

oleng ombak tetap sama
badai membadai tak kenal kapal

RN

Khamis, 19 Mac 2015

tentang sebuah pertanyaan


kauhilang di balik awan
atau ditelan lautan
penantian kami di daratan
bertemu tanda tanya

RN

Selasa, 10 Februari 2015

catatan di restoran mamak

pengadilan selesai
itu kerja manusia
keadilan kerja Tuhan
tunggu di sana
RN

Isnin, 19 Januari 2015

secawan puisi berperasa vanila

semalam,
kubuat secawan puisi
berperasa vanila.
kaucicip puisi itu
katamu, puisi itu
berperasa cokelat.
itu hanya puisi, sayang
kau punya hak
untuk punya rasa kau sendiri.
tapi,
bukan tugasku
untuk menghakimi
apa yang kaurasa
sama (atau berbeza) dengan
apa yang kurasa.

RN
15 januari 2015