Isnin, 28 Januari 2013

reinkarnasi

kerikil di jalan tak pernah
bertanya - mengapakah hanya
debu-debu yang sudi singgah? dan
hujan telah lama tidak turun
bagai kalut yang tak terurus
masa yang panjang terasa singkat
ruang yang luas terasa terbatas.


sebuah jawapan tanpa soalan
terbiar nanar tanpa dipedulikan
- jika hidup memerlukan kata-kata
dia memilih diam - kerana setiap
kata ialah hukuman tanpa ampun.


tuduhan demi tuduhan pun terhunjam
menyelusup ke dalam tanah
kerna yang bernafas di bumi
enggan mengakui silap sendiri.


rimanilzah
bukit jana, kamunting
17-01-2013

kado buat zira



hidup ini bagai api
yang kita pilih gunanya apa
tanak juadah pengalaman
atau bakar bara dendam

tika usia membunga
boleh saja memilih
untuk mekar segar
atau terkulai
sebelum waktu

dan, setelah senja
mengherdik masa silam
yang tak kembali lagi

jangan begitu, zira
tarungi hidup ini
dengan jiwa kencana

rimanilzah
21-01-2013
selamat ulang tahun kelahiran ke-16