Selasa, 10 Februari 2015

catatan di restoran mamak

pengadilan selesai
itu kerja manusia
keadilan kerja Tuhan
tunggu di sana
RN

Jumaat, 9 Januari 2015

nota awal januari


kalendar baru dibuka, kawan
masih awal. aku tidak hilang.
paling tidak, aku ada di pinggir
hatimu yang paling rindu.

jika menyepi ialah pilihan terbaik,
kekalkan aku di situ.
kekalkan aku dalam rindumu.

RN
09 januari 2014

Rabu, 7 Januari 2015

jerkah alam dan anak2 pulau







kami susuri persisiran sungai kelantan pada petang yang rawan. bah telah surut namun kesan2 derita masih berbaki. kami singgah dari satu pulau ke satu pulau. dalam perjalanan – anak2 pulau di bot. tanpa bimbang menyusuri sungai.

anak-anak pulau telah biasa dengan pasang surut air laut. namun, bah yang melanda luar biasa arusnya. jika bah berlarutan, pulau ini boleh musnah. syukurlah – amuk alam tidak berpanjangan.

pulau ini dianugerahkan buat anak2 pulau dari dahulu lagi, zaman-berzaman. sayang – kiranya pulau ini musnah kerana sikap rakus manusia.

moga jerkah alam dengan bah yang melanda menjentik sedar. bahawa alam ini perlu diramahi dengan cinta.  bukan diradak semahu2nya tanpa belas.

bah yang melanda sekadar peringatan. insaflah.

RN
3 januari 2015

foto oleh: Shaarani Mahmood

Selasa, 6 Januari 2015

cerita maaruf tentang bah

cerita maaruf:
tidak seperti selalu, air naik berdikit-dikit. kalaupun naik kami telah bersedia dengan tiang tinggi. kami pergi sebentar. pulang membersihkan kotoran yang minima.


cerita maaruf lagi:
tidak kali ini. air datang tidak sekadar acah2. air datang bagai membawa marah yang besar. tiang tinggi tidak lagi dipeduli. kami pergi sebentar. dan, pulang dengan dugaan sarana rumah musnah total. syukurlah rumah kami masih berjejak di bumi.


kataku kepada maaruf:
alam ini telah terlalu lama didera. barangkali tangisnya kali ini membawa deritanya yang sudah tidak lagi tertanggung. alam ingin menyampaikan suara hatinya agar lebih disantuni dan dikasihi.


kataku kepada maaruf lagi:
moga kita lebih mendengar kali ini. jangan tunggu hingga alam merintih lagi. siapa tahu rintihannnya selepas ini tanpa maaf. siapa tahu nanti alam melepaskan dendamnya kerana kita kian alpa dan tidak peduli.




(ketemu lagi, maaruf. moga keadaan bertambah baik.)


RN
kota bharu - jeli - kota romantis
3-5 januari 2015

Selasa, 30 Disember 2014

lelah dan tak boleh blah

aku tak apa-apa sayang
cuma penat dengan dua ribu empat belas
– alif adenan.


panas membahang awal tahun
tasik yang senantiasa penuh airnya
di kota basah ini jadi kontang

hujan menggila hujung tahun
bah besar melanda – huh!
ada kelaku orang politik yang entah apa-apa

kalau kau mahu peduli
penat, beb jadi rakyat malaya ini
kecuali kau mahu angguk saja
saran bagai majlis profesor negara

(dan, jadi rakyat yang bersyukur tanpa tanya)

pesawat hilang, pesawat ditembak
sandakan diserang pengganas
pesawat terhempas lagi

kertas soalan bocor
murid jadi tikus makmal

viral di media sosial ialah berita
serang oposisi ialah cerita
harga barang naik ialah derita

tuhan tidak aku salahkan-Mu
lalu kepada siapa bersalahan aku
kepada daulah yang terbaik ini
yang aman makmur dan sentosa?
lalu nanti dituduh durhaka
dihalau dari tanah tercinta

nak hadap apa lagi kita
(moga) selamat tahun baharu.



RN
31-12-2014

Khamis, 25 Disember 2014

kata-kata alam

foto: bernama

alam telah bersuara
harap kita mendengar

RN
kota basah

Selasa, 23 Disember 2014

fragmen banjir

foto: ridduan ismail (ig:TTFGA)

paras buku lali 
jangan pergi jauh, sayang 
sorok resahmu di balik pintu harapan 
sidai baju gusarmu di ampaian kasih 
ke sini aku lipatkan kaki seluarmu

pada paras lutut ini 
tutuplah diri dengan gebar nyali besar 
lenalah dulu, bermimpilah jika mahu 
nanti aku kejutkan - aku kejutkan 
andai air tak surut-surut 
masih mahu meladeni desa sendu ini

paras pinggang sekarang 
bersedialah 
sudahkah kausimpan dokumen ke syurga? 
simpanlah baik-baik dalam beg iman 
pabila air tak mahu memaafkan lagi 
usah lupa - bawalah bersama-sama

telah hampir ke dada 
amaran untuk pindah 
tidak dapat kita tunggu lagi rumah amal ini

air telah menyapa tangga 
bagai ingin membasuh noda 
yang dipalitkan 
di dalam sedar 
di luar sedar 
berpindahlah

dari leher - kini hampir hapuskan hidung 
tak mungkin dapat bernafas lagi 
carilah ruang yang lain - sementara 
pabila nanti telah reda - kembalilah 
namun jangan kauulangi 
jangan kauulangi bejat yang lalu

banjir datang mengingatkan 
insaflah 


RN
30-12-2007