Sabtu, 15 September 2012

kata-kata gusar tika hujan petang itu

lukisan batik: abdullahjones
 
 
gusar yang bersenandung lewat hujan petang itu membawanya ke daerah resah - tentang... - dan, murid yang diasuhnya dengan ajaran moral dan nilai murni telah -- hujan petang itu membawanya ke daerah resah - dan, dia bertanyakan dua soalan: satu, diakah yang gagal atau dua, sistemkah yang pincang - dan, kerana tidak mahu menyalahkan pihak lain - dia menghantukkan kepala ke dinding hingga darah bercucuran keluar membasahi dahi - ke hidung - ke mulut - ke dagu - ke buah dadanya - ke perut - ke pusat - ke ... -- hujan petang itu membawanya ke daerah resah - dan, sembilan bulan telah berlalu dari saat celaka yang menimpa anak muridnya itu - dia menyeranah semuanya, kepada lelaki sial, imam masjid, guru disiplin, emak yang sibuk, bapa yang hilang, adik dan kakak yang entah ke mana, laman sosial, laman-laman sesawang dan ..., dan ..., dan ... dia menemukan dua jawapan yang entah betul entah tidak, satu, dia tidak mampu menentang kehendak yang telah ditentukan, dua, hujan yang membawanya ke daerah resah itu tidak mampu membasuh cemar. buat es, katanya perlahan-lahan, "jagalah, jagalah dia - dan, jangan kauulangi jejak-jejak nahi - cukuplah" --

Isnin, 16 Julai 2012

pascabersih 3

"Al-Abror Mohd Yusuf bila anak2 muda melayu bangkit, kamu kata: melayu sama melayu bergaduh. org bukan melayu tepuk tangan. kalau anak2 muda yg bangkit tu bukan melayu, kamu kata: bukan melayu dah berani mencabar dan kurang ajar. kalau polis yang belangkung pelajar tu bukan melayu, kamu kata: dia bertugas utk negara. kalau polis yang belangkung pelajar tu melayu, kamu kata: dia bertugas utk negara."

biarkan dia terus beronani dengan statusnya
moga-moga dia berejakulasi
dan berasa puas memancutkan lendir rasisnya

2012

Rabu, 11 Julai 2012

kawan-kawanku ceritanya tiada lain


pada hari yang tak menjadi
mesin masa tidak bergerak, dan
angin terdiam kala panas bersuara
siapakah yang faham
tentang kantung yang menyusut
ketika fasiliti semakin daif

05-07-2012
bukit jana, kamunting

Khamis, 21 Jun 2012

salamander




saat diamnya menghukum
aku terkenang akan senyumnya
dan, bunga-bunga di laman bersenandung
hidup ini bukan rel lrt tetapi sungai dengan liku-likunya

Isnin, 9 April 2012

malam hujan rintik-rintik

malam hujan
tik
tik
tik
dan, berita di tivi
memanah ke kiri
telinga kami tersumbat
pita selofan di bibir

hanya kata rontak
bergema dalam dada
dup
dap
dup
dap
hujan malam

29-02-12
bukit jana

Khamis, 23 Februari 2012

wawancara dengan brirasa yang pernah disiarkan di esastera.com


Sewaktu ke Alor Setar tempoh hari, saya telah berkunjung ke Muzium Padi atas saranan Sdr. Brirasa dan Sdr. Zaidin Abadi. Lukisan-lukisan di muzium tersebut amat mengagumkan. Saya juga tertarik akan suasana di sekeliling muzium tersebut yang dilatari sawah padi. Kotak fikir saya menggambarkan – inilah agaknya dunia Brirasa, atau nama sebenarnya Sabri bin Hashim. Lahir pada 20 Januari 1962 di Kampung Alor Gunchar, Alor Setar. Telah berjaya menghasilkan antologi sajak persendirian “Jejak Ana” yang diterbitkan secara gerila. Saya tidak kagum akan judul antologi ini dan reka letak huruf serta reka bentuk kulitnya bagi saya begitu biasa sahaja. Penyuntingannya juga lemah. Begitu pun adalah tidak adil saya menilai antologi tersebut hanya berdasarkan judul, reka letak huruf, reka bentuk kulit, dan penyuntingan. Sajak-sajak dalam antologi ini pada pandangan saya punya kekuatan yang tersendiri. Brirasa mempunyai pengamatan yang tajam dan mampu menyusun kata-kata dengan sederhana tetapi bermakna. Rupa-rupanya seperti yang saya jangka, beliau gemar bercakap-cakap dengan alam dan menumpahkannya ke dalam bentuk karya sastera. Ikutlah wawancara saya dengan penyair berbakat besar ini.

Rimanilzah:
Salam. Apa khabar Sdr. Brirasa? Untuk permulaan, saya ingin mengajukan soalan ini: Bilakah mulai menyertai e-Sastera? Apakah pandangan sdr. tentang perkembangan e-Sastera?


Brirasa:
Salam Sdr Rima. Syukur, Alhamdulillah, khabar baik. Terima kasih kerana sudi mewawancara saya, (saya terfikir yang saya cuma penulis kecil dan amat daif ilmu dan sebagainya, ini satu penghargaan buat saya, terima kasih). Mula menulis di e-Sastera pada Mac 2006. Sebelum itu sekadar menjadi pembaca. Tentang e-Sastera, saya jadi teruja dengan slogan ini - INGAT: masa depan sastera anda berada di e-Sastera.com. Saya membaca majalah Dewan Sastera (tak ingat tarikh), muka depannya terhias gambar Prof. Dr Wan, fokus bulan itu menceritakan sastera siber. Ini membuatkan saya ingin mendekati e-Sastera. Perkembangan e-Sastera sungguh memberangsangkan, saya temui banyak golongan yang berlatar belakang pendidikan yang berbagai-bagai aktif di e-Sastera. Ini yang membuatkan e-Sastera terlalu istimewa. E-Sastera dapat membentuk satu ukhuwah yang kuat meskipun antara ahlinya ada yang belum pernah bersua muka. Ini kekuatan e-Sastera. Dan saya banyak belajar dan belajar di e-Sastera. Ramai guru-guru di sastera yang mengajar saya di e-Sastera secara tidak langsung. Ini mungkin tidak ditemui di media konvensional / bercetak. Terima kasih e-Sastera.

Rimanilzah:
Saya juga banyak terbaca di e-Sastera tentang hal itu bahawa mereka (maksud saya penulis di e-Sastera) banyak belajar di e-Sastera. Apakah sebenarnya yang dipelajari di e-Sastera?

Brirasa:
Bila membaca di e-Sastera terasakan karya itu hidup, terasa kita berdepan dengan pengkaryanya. Ini tidak ditemui di media yang lain. Banyak karya di e-Sastera yang bersifat interaktif dan multimedia. Dan, ini mencabar saya untuk belajar mempersembahkan karya sedemikian rupa.


Rimanilzah:
Ruangan "Ulasan Sajak" semakin lesu di komuniti Penyair. Adakah ruangan ini baik dan bermanfaat?

Brirasa:
Ruangan itu memang semakin lesu, saya rasa begitu. Ruangan ini memang baik dan bermanfaat. Pada pendapat saya Ini mungkin disebabkan pembaca / pengulas berasa sedikit bimbang untuk membuat ulasan kerana bimbang pengkarya akan salah tafsir dengan ulasan yang dibuat tambahan lagi jika ulasan itu terlebih keras. Sepatutnya hal begini tidak berlaku. Mungkin juga pengulas agak sibuk dan mengkhususkan lebih masa untuk membaca dan berkarya. Mungkin juga kita kekurangan pengulas yang berilmu untuk membuat ulasan dalam erti kata ulasan yang sebenarnya. Saya pernah menulis madah, iaitu "Kritikan adalah serbat manis untuk pengarang sesudah lelah dan haus berkarya". Saya suka akan kritikan / ulasan yang ikhlas untuk membina walaupun kritikan itu pedas, namun dengan satu alasan kritikan / ulasan ke atas karya bukan pengkarya. Apa-apa pun, respons memuji mungkin diperlukan juga bagi pengkarya yang baharu untuk memberikan semangat supaya terus berkarya. Oh, mungkin saya sedikit tersasar dari soalan sebenar saudara! Maafkan saya. Untuk merancakkan kembali ruangan ulasan sajak, saya berpendapat kita boleh adakan pertandingan membuat ulasan. Ya, kita kena cari penaja untuk menyediakan dana hadiahnya. Ini pendapat saya.

Rimanilzah:
Betul. Saya juga semakin kurang menulis ulasan. Esok kita akan berpuasa. Saya nak ucapkan selamat berpuasa. Bagaimanakah kegiatan menulis pada bulan puasa?

Brirasa:
Selamat berpuasa semoga beroleh keberkatan. Insya-Allah, kegiatan penulisan di bulan penuh berkat ini akan tetap berterusan. Oh, saya bukanlah penulis yang “berdisiplin” menulis! (Tiada waktu yang khusus.) Ini kelemahan saya. Walau bagaimanapun barang yang selalu saya bawa ke mana-mana saya berjalan ialah pen dan buku catatan. Ketika ke surau pun saya bawa pen dan
kertas. Kerapnya, saya mencatat apa yang saya tengok, dengar dan rasa. Saya akan tulis apa saja walaupun sepatah perkataan, mungkin juga sekadar menconteng (ini termasuk jam, tempat dan tarikh). Saya tidak boleh duduk / menulis sambil menunggu ilham menerpa. Mungkin sebab itu bila menulis kembali bahan yang saya catat, saya mungkin menulis dari bahan yang terdahulu, mungkin sehari, seminggu, sebulan atau setahun yang lalu. Saya gagal menulis karya kreatif tempahan, mungkin sebab itu saya gagal menyertai pertandingan. Saya juga tidak boleh menulis terus ke dalam komputer. Apa pun, di bulan yang penuh keberkatan ini, Insya-Allah ilham akan lebih segar.

Rimanilzah:
Membawa alat tulis ialah ciri-ciri penulis yang berdisiplin. Perlukah penulis memenangi pertandingan atau sayembara untuk dianggap sebagai penulis yang berjaya? Berikan komen.

Brirasa:
Saya berpendapat, penulis yang akan dikenang sepanjang zaman ialah penulis yang mempunyai “suara” dalam karyanya. Ini tidak kiralah sama ada dia pernah menang anugerah ataupun tidak. Kita ambil contoh penyair Latif Mohidin, siapa tak kenal kalau kita sebut puisi “Sungai Mekong”. Ada penulis yang karyanya saban waktu tersiar di media siaran, kerap, memang dia popular, namun seakan tiada “suara” nya. Tentang sayembara, memang ada penulis yang lahir daripada sayembara dan kerap memang anugerah, mungkin ini salah satu cara mencari wang dalam dunia persuratan. Walau bagaimanapun sayembara dan anugerah diperlukan untuk memberi pengiktirafan dan galakan kepada penulis. Dan, saya suka cara Kumpulan Utusan membuat pertandingan, mereka memilih karya yang tersiar sepanjang tahun dan diberi penilaian. Ini rasanya tidak mengikat penulis untuk mencipta karya untuk peraduan.

Rimanilzah:
Semasa saya remaja saya sering menyaksikan acara baca puisi di tempat terbuka, iaitu Central Market. Pyanhabib, Sani Sudin, dan rakan-rakannya membaca puisi di tempat orang lalu-lalang. Acara ini menjadi satu fenomena dalam tahun 80-an dan 90-an. Wajarkah acara seperti ini dihidupkan?

Brirasa:
Saya rasa wajar acara sebegitu dihidupkan dan pihak yang berkuasa wajar menyokongnya. Acara santai sebegitu dapat menarik masyarakat mendekati sastera. Ini juga dapat menyemarakkan kemeriahan sesebuah kota raya. Saya teringat akan bekas MB Kedah Dato' Seri Sanusi Junid pernah mencadangkan aktiviti seni diaktifkan di kawasan masjid dan surau bertujuan menjinakkan masyarakat dengan masjid dan surau. Mungkin sedikit pelik cadangan itu. Entahlah cadangan itu hanya menjadi bahan lawak saja selepas itu. Paling pasti di Indonesia, perkara sebegini telah berlaku. Di Alor Setar, seorang sahabat, penulis / aktivis teater Ruhi Isma mengadakan aktiviti santai puisi sebulan sekali, baru bermula awal tahun ini. Saya pernah hadir, acaranya bebas dan santai, siapa saja boleh beraksi tiada halangan protokol dan sesuatu yang saya kesan, masyarakat memang memerlukan aktiviti sebegitu.

Rimanilzah:
Kematangan sesebuah karya tidak ditentukan oleh usia. Bersetujukah sdr. dengan penyataan ini?

Brirasa:
Saya tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Penulis ialah pencatat zaman. Kerja menulis memerlukan usaha yang berterusan dari masa hingga masa selagi ada hayat penulis itu. Pada saya faktor cuaca, masa, kesihatan banyak mempengaruhi karya seseorang penulis, justeru kematangan karya itu akan selari dengan kematangan usianya. Pada saya cuma ada beberapa orang saja penulis yang karyanya matang berbanding dengan usianya yang masih muda. Adalah malang seseorang penulis itu yang karyanya tidak berkembang matang selaras dengan peningkatan usianya. Pembaca dapat menilai sesebuah karya itu.

Rimanilzah:
Saya menyifatkan J.M. Aziz sebagai penyair alam. Sajak-sajaknya halus, lembut dan kemelayuan. Dulu, e-Sastera ada Allahyarham Invisible yang menukilkan sajak-sajak seperti yang saya maksudkan itu. Saya turut mengesani sajak-sajak sdr. amat akrab dengan unsur alam, halus, lembut dan punya gaya yang tersendiri.

Sejauh manakah "alam" mempengaruhi sdr. dalam menghasilkan sajak?

Brirasa:
Alam saya ialah alam kampung yang berbaur peluh dan debu juga selut lanyau. Gunung, sawah ladang, dangau, sungai, paya, padi, kerbau lembu, kambing, unggas serta orang-orang kampung adalah unsur alam yang begitu dekat dengan saya. Saya amat mencintainya. Irama alam terutamanya sewaktu senja di bendang dan warna-warnanya selalu menguja saja dan saya boleh berlama-lama menikmatinya. Saya kerap bercakap-cakap dengan unsur-unsur alam terutamanya dengan pokok-pokok yang saya tanam. Ianya memberikan satu keasyikan yang sukar digambarkan. Berbicara dengan haiwan ternakan ialah suatu kaedah menternak bagi penternak dan pengamal sains veterinari sebenarnya, hal ini satu seni sesungguhnya. Sejarah mencatatkan orang kita dulu-dulu mempunyai bahasa khas ketika membajak sawah dengan menggunakan perkhidmatan kerbau.

Rimanilzah:
Saya terpesona sebentar semasa membaca jawapan sdr. Boleh sdr. ceritakan proses penciptaan satu sajak sdr yang ada kaitan dengan alam?

Brirasa:
Oh! Soalan saudara kali ini begitu menduga saya, walau bagaimanapun saya cuba menjawabnya. Saya ingin bercerita tentang proses penciptaan sebuah sajak saya yang agak rapat dengan unsur alam, iaitu “Ketika Hujan di Petang Itu”. Begini:

Terdapat dua jalan utama yang saya gunakan untuk pulang dari tempat kerja ke rumah (Alor Setar ke Alor Janggus). Kerap saya melalui jalan-jalan itu. Salah satu jalannya ialah jalan yang akan mempertemukan saya dengan sawah padi dan Gunung Keriang. Dan, waktunya sudah tentu di waktu petang. Saya begitu teruja dengan pemandangan di situ, ada gunung, sawah padi,
dangau. Letaknya di pinggir bandar, agak kekampungan dengan hamis rumputnya, bau lanyau bendangnya, aroma padinya, bunyi cengkeriknya serta nyanyian katak di batas bendang dan sudah tentu dengan tersergamnya sebuah gunung batu kapur. Saya kerap berhenti di bawah pokok tepi jalan. Asyik saya di situ menikmati panoramanya. Kerap mengilhamkan. Sajak ini hasil dari perbicaraan saya dengan diri saya sendiri, bolehlah dikatakan saya sedang berbisik kepada hati (pinjam kata-kata catan saudara). Sebelum sajak ini menjadi begini:

Ketika Hujan di Petang Itu

petang itu
hujan turun lagi
rumput-rumput berzikir di halaman
menadah titisan rahmat

ana
engkaukah itu
sedang berdiri
di halaman kuyup kebasahan
tanpa payung
tanpa salam

sudikanlah ke dangau puisiku
mencoret selembar pengalaman
sebelum kau pergi lagi
sesudah hujan reda
sebelum senja tiba.

Pondok Gunung Keriang, Alor Setar
Mei 2006.


Saya pernah mencatatkan dalam buku catatan beberapa bulan terdahulu, begini:

ana kebasahan
di waktu hujan di laman
tanpa payung.


Ini catatan lama saya. Catatan yang tinggal catatan. Saya biarkan. Suatu petang sebelum balik kerja, saya berbual dengan seorang kawan, pada waktu itu hujan mencurah lebat. Dia berkata, kenapa kita harus takut dengan unsur alam seperti hujan, angin dan sebagainya, semua itu ialah tentera Allah. Kita harus mendampinginya. Kata-kata itu terngiang-ngiang di kota fikiran saya sewaktu saya memandu pulang dan melalui jalan yang dimaksudkan di atas. Hujan memang lebat pada waktu itu. Saya berhenti di tepi jalan dan diam di dalam kereta. Saya lihat rumput-rumput dan pokok padi seakan berzikir menadah titisan rahmat. Lalu saya menulis:

petang itu
hujan turun lagi
rumput-rumput berzikir
menadah titisan
rahmat


Itu saja yang saya catat dan seketika menikmati suasana hujan di tepi jalan dan saya memandu pulang. Hujan mencurah dari petang itu sampai ke malam. Malam itu saya diterpa-terpa dengan persoalan rumput yang basah. Lalu saya membelek buku catatan yang lama. Dan saya menulis kembali:

petang itu
hujan turun lagi
rumput-rumput berzikir di halaman
menadah titisan rahmat


Saya tambahkan di halaman kerana pada waktu itu saya berada di rumah dan halaman itu bermaksud satu ruang kehidupan. Dan, saya membayangkan saya ingin menjadi insan sebaik rumput-rumput. Rumput yang tahu bersyukur maka saya catatkan dengan tambahan dari cacatan lama, iaitu:

ana
engkaukah itu
sedang berdiri kuyup kebasahan
tanpa payung
tanpa salam

Dan, memang saya telah masuk ke dalam diri saya dengan rangkap kedua itu. Lalu saya tulis dengan bermohon / doa agar datanglah diri saya yang baik itu bak rumput, iaitu:

sudikanlah ke dangau puisiku
mencoret selembar pengalaman
sebelum kau pergi lagi
sesudah hujan reda
sebelum senja tiba


Sesungguhnya saya bermohon makhluk sebaik rumput itu datang ke dalam diri saya mencarikan siapa dia dan kebaikannya dan datanglah dengan rahmat itu sebelum kematian menjelma. Itulah proses menulis sajak tersebut. Dan, itulah sajak itu kalau boleh dianggap sajak. Oh, sesungguhnya saya teramat cetek ilmu teori bersajak! Ini sekadar saya bercerita tentang pengalaman peribadi ketika menukangi sajak. Kalau boleh menjadi kebaikan
terimalah, kalau tiada biarkan saja.

Rimanilzah:
Sekali lagi saya terpesona. Memerikan proses penciptaan sajak bagi saya penting. Dengan demikian, orang lain dapat mempelajari sesuatu daripada penulis berkenaan. Saya sendiri misalnya amat senang dengan penjelasan SN Datuk A.Samad Said tentang proses penciptaan sajak-sajaknya. Dr. Wan dan Sdr. Ramy juga pernah berbuat demikian di e-Sastera. Komen sdr.?

Brirasa:
Kerja menulis proses penciptaan sajak sendiri juga satu kerja seni. Perlu banyak menyemak kembali catatan lama. Oh, ya! Saya juga senang dan kerap membaca tulisan proses penciptaan karya SN Datuk A.Samad Said. Setiap kali ada penulis yang menulis proses penciptaan di e-Sastera saya akan membacanya. Begitu juga saya cukup senang kalau ada tulisan kritikan dan ulasan karya di e-Sastera. Tulisan proses berkarya dan tulisan kritikan adalah berbeza. Dari tulisan kritikan kita dapat mempelajari ekspresi seorang pembaca / pengkritik ke atas karya kita.

Rimanilzah:
Apakah andaian sdr. tentang e-Sastera 20 tahun akan datang?

Brirasa:
Andaian saya, 20 tahun akan datang e-Sastera.com akan menjadi pengganti majalah sastera konvensional yang ada sekarang. Menjadi sumber rujukan utama. E-Sastera boleh dicapai di mana-mana saja hanya dengan satu alat peranti yang kecil. Gilalah saya jika mengatakan yang
sasterawan negara akan lahir dari e-Sastera.com tapi itulah yang akan terjadi, ingat masa depan sastera anda berada di e-Sastera.com.

Rimanilzah:
Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sdr. sudi melayan soalan-soalan saya yang saban waktu memasuki kotak e-mel sdr. Wawancara ini bagi saya amat bermakna dan semoga ada manfaat yang pembaca peroleh daripadanya. Mungkin ada hal lain yang ingin sdr. perkatakan tapi tidak terkandung dalam soalan-soalan yang saya ajukan. Silalah nyatakan.

Daripada saya, selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. Oh, ya! Saya senang sekali minum nescafe o di kedai mamak tempoh hari.

Brirasa:
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sdr. kerana sudi berwawancara dengan saya. Saya amat menghargainya. Saya rasa tiada apa lagi yang nak saya tambahkan. Cuma saya mendoakan agar e-Sastera.com akan terus maju jaya dan ahli-ahlinya dapat berkarya dengan etika yang baik dan beroleh manfaat daripadanya. Memang, wadah sebaik e-Sastera.com ini akan selalu dicemburui oleh mereka yang dengki dan iri hati, namun semua ini selalunya menjadi petanda menuju kejayaan. Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada sdr. Saya juga ingin mengucapkan, selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.Ya, ya! Saya juga senang sekali dengan kesudian sdr. minum-minum dengan saya di situ. Saya kerap ke kedai mamak itu ketika balik kerja, banyak mengilhamkan. Ermmm... saya sedang menulis sesuatu tentang (Habang ii)! Tunggu.


Wawancara ini telah dijalankan melalui e-mel mulai 5 September hingga 7 Oktober 2007.
(Brirasa telah kembali ke Rahmatullah pada 14 Februari 2012. Al-Fatihah)