Jumaat, 23 Oktober 2015

#oktoberindu


kesepian menjadi dendam
tak padam. gundah terbunuh
di rumah sunyi.

engkaukah yang berdiri di
kaki pelangi. selepas hujan
turun rintik-rintik membasah
resah semalam.

aku terdengar lagu “hanya aku”
di telefon genggam. hagen dass
di mangkuk cair tidak dijamah.
buku catatan kosong tanpa
sajak terkarang.

kembali ke rumah sunyi – aku
mencari diari yang hilang. pernah
aku catatkan di situ, “mengapa kau
tinggalkan aku dengan tanda tanya
di restoran d. nescafe o mendingin
di meja. di mana engkau?”

kau pernah datang meletakkan
sekeping kartu soalan di meja. aku
biarkan tidak berjawab. angin datang
kartu pun terbang. engkau renung
mataku. aku renung matamu dengan
hati berdetik, “kita tak seharusnya
hadir di sini. bukankah
kita hanya punya mimpi?”

matamu seperti menjawab, “kirimkan
kepadaku pesanmu seperti selalu.
kata-katamu pedang ingatan. aku rela
terpancung – terpenggal imarah
daripada perasaan.”

sendiri  di rumah sunyi, aku sedar –
aku hanya sejuzuk kisah dalam sirah
hidupmu. setelah sirna momen-momen
dalam peta fikirmu.  aku bukanlah sesiapa.

begitupun kenangan bagai serigala
memburuku. sepantas manapun kubawa
berlari. tetap datang menghampiri.

celakanya aku dikejar kenangan itu. 


rimanilzah
18 - 28 oktober 2015

Tiada ulasan: