Rabu, 8 Mei 2013

sajak malam memanjang

ini malam memanjang
mengenang - kala kandil patah sumbu

rimanilzah
05-03-2013

dia yang tak punya jawapan

tiba masanya
aku tidak lagi peduli
aku mahu menerjah angkasa
dan berkhalwat di bulan

di bulan
aku ingin bertafakur
mahu masuk ke dalam diri
mencari diri

(yang hilang dibawa angin sangsi)

jangan pernah bertanya
kerna aku tak punya jawapan

(kalaupun ada jawapan - biarlah kusimpan
untuk nanti kujadikan antidot)


rimanilzah
20-03-2013
bukit jana

sajak pagi dini

ini pagi dini yang nyeri
kalam patah minda sesah
Tuhan, betapa kecil aku
menghadap besar duga

aku bawa ke dalam mimpi
moga bertemu kama yang nyali
namun hanya sepi
hanya sepi yang meniti
pagi dini ini

maafkan aku kerna terlewat
tiba
selepas hujan rinai semalam

rimanilzah

23-03-2013

sia(l)sah

tika kisah siasah
menyelusup ke dalam seluar
wajah kemaluan melayu
hanyalah plastik

dan, yang menjerit tentang akhlak
di dewan perhimpunan sebenarnya
hanya membogelkan diri di pentas

hei, inzalkah diri
membuka aib orang?

oh, ya... ini malaya, beb!



14-04-2013

sajak cinta pada hari penamaan

pada hari penamaan
dua dekad yang lalu
engkau menang tanpa bertanding

kita pun membentuk
kerajaan cinta yang kukuh
sehingga kini

meski, pernah engkau usul
undi tidak percaya
kudeta tidak pernah berlaku

rimanilzah
20-04-2013
 — di Taman Farhanas.

dia yang menyusur sungai sejarah

      "sayang sarawak sungainya sempit
       nakhoda kapal bersusah hati
       hendak kubawa perahu sempit
       hendak kutinggal tak sampai hati"


       (lirik lagu "sri sarawak" dendangan ishak haron)

sore itu, dia menyusur sungai sejarah
alir air memang nampak tenang
namun, pusar dalam jiwa siapa yang tahu

dia terhukum oleh sejarahnya sendiri
lalu ingin dia kembali ke hulu
memulakan langkah baru
meski di muara telah keruh berlumpur

ketika perahu tiba di jeti
dia berpaut pada tebing kenangan
berharap tidak jatuh - lalu
terkapai-kapai dalam arus serba salah

moga ada yang menghulurkan tangan
dia bimbang tenggelam
lemas dalam diri sendiri

rimanilzah
20-04-2013
 — di Water Front Sarawak.

sebaris sajak buat suri vi

cintaku kepadamu tak pernah selesai

rimanilzah
25-03-2013

pemilu

kami kutip mimpi semalam
dan meletakkannya di tebing harap
harap pun menjadi gunung
gunung itu kami daki meski lelah

ini kalilah

rimanilzah
26-04-2013
semanggol